The Alfaro Group
MALAYSIA UNITED ARAB EMIRATES CHINA
Home / About Us
Alfaro santuni 1,000 anak yatim dan golongan fakir dengan sumbangan baju raya
Dalam usaha menyemarakkan semangat Ramadan dan Syawal yang bakal tiba, butik pakaian terkenal ALFARO Sdn. Bhd. meneruskan komitmen kebajikan mereka dengan menyantuni 1,000 anak yatim serta fakir dari Selangor, Pahang, Johor, dan Melaka menerusi sumbangan baju raya.
Ketua Pegawai Operasi ALFARO, Muhammad Irfan berkata, sumbangan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Kami mahu melihat anak-anak yatim dan fakir ini tersenyum dan berasa dihargai. Baju raya mungkin nampak seperti perkara kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi mereka yang kehilangan ibu bapa dan menghadapi dugaan hidup, ia memberi makna yang besar. Kami berharap usaha ini dapat memberi sinar kebahagiaan kepada mereka dalam menyambut hari raya,” katanya.

Sementara itu, pengasas ALFARO, Mr. Farooq Ahmed berkongsi pihaknya mahu lebih ramai anak-anak yatim serta fakir mendapat manfaat daripada program ini, terutama mereka yang berada jauh dari ibu kota.
“Jika sebelum ini kami menumpukan sumbangan kepada rumah anak yatim dan fakir di sekitar Lembah Klang, kali ini kami mengambil keputusan untuk memperluaskan inisiatif ini ke negeri lain,” katanya.
Majlis penyampaian sumbangan ini menjadi lebih istimewa dengan kehadiran duta ALFARO, Fasha Sandha, yang sanggup meluangkan masa walaupun dengan jadual kerja yang padat. Kehadirannya memberikan suasana yang lebih meriah apabila beliau beramah mesra dan turut berkongsi kegembiraan bersama anak-anak yatim yang hadir
Sebagai jenama fesyen yang sentiasa menyokong usaha kemasyarakatan, ALFARO mahu memastikan golongan anak yatim dan fakir tidak terpinggir dalam menyambut perayaan Aidilfitri. Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi kegembiraan kepada mereka tetapi juga sebagai satu bentuk sokongan moral agar mereka dapat merasai kehangatan Syawal seperti orang-orang lain.

Antara rumah-rumah anak yatim dan agensi yang terlibat ialah ialah Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Halimatusaadiah, Akademi Tahfiz Al Quran Vokasional Al Muttaqin, Yayasan Gemilang, Maahad Tahfiz Al Quran Darul Manar, Rumah Kanak-Kanak Mini Selangor, Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Kebajikan Masyarakat, Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor (Rumah Bakti Dato’ Harun) dan Pusat Jagaan Terapi Autistik Nouri.
ALFARO juga dalam perancangan untuk meneruskan program kebajikan sebegini pada masa akan datang, seiring dengan pembukaan beberapa cawangan baharu mereka yang akan diumumkan kelak. Usaha ini mencerminkan komitmen ALFARO dalam menyumbang kembali kepada masyarakat dan memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat menikmati kebahagiaan, terutama pada musim perayaan.